-
Berapakah nilai pampasan yang boleh dituntut bagi polisi insurans sebanyak RM200,000 sekiranya berlaku kerugian atau kerosakan?
Nilai pampasan ke atas kerosakan yang disebabkan oleh bahaya (peril) yang diinsuranskan, adalah berdasarkan kerosakan yang dialami, bergantung kepada nilai insurans atau nilai semasa, tertakluk kepada lebihan, penolakan
ke atas susut nilai dan penalti terhadap "underinsurance" (sekiranya ada).
Penuntut hendaklah mengemukakan bukti atau dokumen untuk menyokong kerugian atau tuntutan seperti laporan polis, gambar kerosakan, sebutharga atau invois pembaikan, invois pembelian terdahulu, laporan teknikal untuk punca
kerosakan (sekiranya melibatkan barangan elektrik), dan lain-lain.
-
Bolehkah saya menuntut pampasan bagi penginapan alternatif / kehilangan penyewaan sekiranya kediaman tersebut tidak boleh dihuni akibat kemalangan?
Sekiranya kerosakan disebabkan oleh mana-mana bahaya (peril) yang diinsuranskan, pemegang polisi boleh membuat tuntutan ke atas penempatan alternatif / kehilangan penyewaan di bawah manfaat Kerugian Sewa; hanya bagi tempoh
yang diperlukan untuk pengembalian semula dan tertakluk kapada jumlah yang tidak melebihi 10% daripada jumlah nilai insurans.
-
Bolehkah kos pengubahsuaian kediaman dimasukkan ke dalam jumlah nilai insurans?
Bangunan di dalam polisi Pemilik Rumah bermaksud bangunan rumah kediaman persendirian di mana terletaknya premis tersebut termasuk segala pejabat domestik, kandang kuda, garaj dan bangunan-bangunan luar yang berkaitan dengannya
dan di atas premis yang sama, barang kelengkapan, dinding, pintu pagar dan pagar di sekeliling premis.
Maka, ianya amat penting untuk pelanggan memastikan nilai insurans adalah mencukupi untuk melindungi harta benda termasuk kos pengubahsuaian, dan barang kelengkapan di dalam bangunan premis. Sekiranya tidak mencukupi, nilai
pampasan akan tertakluk kepada penalti terhadap "underinsurance".
-
Bolehkah saya menuntut pampasan bagi kerugian atau kerosakan disebabkan oleh jubin lantai yang tertimbul atau pecah?
Polisi Pemilik Rumah memberikan perlindungan untuk kerugian atau kerosakan kepada harta benda yang diinsuranskan yang disebabkan oleh bahaya (peril) yang terdapat dalam insurans iaitu kebakaran, kilat, letupan domestik,
pesawat udara, hentaman oleh sebarang kenderaan jalan raya atau binatang, pecah atau melimpahnya tangki, peralatan atau paip air rumah, kecurian, ribut angin, gempa bumi, letupan gunung berapi dan banjir.
Tiada bantuan kewangan akan diberikan sekiranya kerosakan yang dialami tidak disebabkan oleh bahaya (peril) yang dinyatakan di dalam kontrak insurans.
-
Bolehkah saya menuntut kerugian atau kerosakan yang dilakukan oleh tetamu sekiranya saya menginsuranskan kediaman yang dijadikan rumah penginapan (homestay)?
Polisi Pemilik Rumah / Isi Rumah ialah untuk rumah kediaman persendirian. Untuk rumah penginapan (homestay), polisi yang lebih bersesuaian adalah Polisi Kebakaran.
-
Bolehkah saya menuntut pampasan bagi kos untuk memecahkan dinding untuk mencari dan membaiki paip yang rosak akibat daripada kejadian paip air yang pecah di dalam rumah yang diinsuranskan?
Polisi Pemilik Rumah menyediakan perlindungan harta benda yang diinsuranskan untuk kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh bahaya (peril) yang diinsuranskan, dalam hal ini — pecah dan limpahan tangki / paip / perkakas
air.
Oleh kerana polisi ini hanya merangkumi kerosakan yang disebabkan secara langsung oleh bahaya (peril) yang diinsuranskan, maka kos untuk mencari dan memperbaiki paip adalah tidak dilindungi.
-
Bolehkah saya menuntut pampasan akibat kecurian pam air yang terletak di luar bangunan yang diinsuranskan?
Polisi ini menyediakan perlindungan terhadap kecurian tetapi hanya jika disertai dengan tindakan pecah masuk bangunan atau sebarang percubaan ancaman. Di dalam hal ini, oleh kerana pam air terletak di luar bangunan, maka
kerugian tersebut tidak dilindungi.